Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban Lay Hong Berhad
   
 
   
[English Version]

Pendahuluan

Lay Hong Berhad (LHB) adalah sebuah syarikat tersenarai awam yang terlibat didalam bisnes pemeliharaan dan pemprosesan ayam dan produk telur sebagai perniagaan utama. LHB menghasilkan daging ayam dan produk berkualiti tinggi melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS) berserta sistem jaminan keselamatan kualiti dan makanan yang lain. Lay Hong Food Corporation Sdn. Bhd. (LHFC) dan Lay Hong Liquid Egg Sdn. Bhd (LHLE) adalah dua anak syarikat Lay Hong Berhad yang melibatkan pemprosesan daging ayam dan telur. Semua produk kami disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam usaha untuk memastikan integriti produk halal kami, LHB telah terlibat dalam membangunkan sistem pengurusan dengan objektif untuk mengurangkan risiko produk yang tidak halal atau ketidakpatuhan kepada keperluan JAKIM untuk pensijilan produk halal. LHFC dan LHLE masing-masing telah menerapkan Sistem Jaminan Halal (HAS) sejak tahun 2009 dan 2015. Pada masa itu, sebuah manual telah disediakan berdasarkan kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan pada tahun 2013 manual itu disemak semula untuk memenuhi garis panduan Sistem Pengurusan Jaminan Halal oleh JAKIM. Walau bagaimanapun, syarikat memutuskan untuk menaik taraf Sistem Jaminan Halal (HAS) ke Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS) di mana keselamatan dan kualiti makanan dimasukkan di bawah konsep Halalan Toyyiban.

Berikutan dengan perubahan dalam Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) versi 2020, pada tahun 2023 dokumen Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS) kemudiannya disemak untuk kali keempat bagi mematuhi keperluan piawaian. Namun begitu, unsur-unsur konsep toyyiban tetap dikekalkan.

HTAMS menjanjikan ketelusan dan konsistensi dalam melaksanakan panduan halal. Semua aktiviti secara terus menerus dipantau, direkodkan dan diaudit secara berkala oleh auditor dalaman dan luaran. Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk memantau keberkesanan pelaksanaan sistem ini.


Polisi Halal LHB

Lay Hong Berhad komited untuk menghasilkan daging ayam, produk ayam, perusahaaan telur cair, dan produk telur rebus yang Halal untuk memenuhi semua garis panduan Halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Kami juga komited untuk menghasilkan produk bernutrisi dan berkhasiat yang sihat dan selamat untuk dimakan dan berkualiti tinggi.


Objektif HTAMS

Objektif Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban Lay Hong Berhad adalah seperti berikut:
  1. Memastikan pematuhan kepada garis panduan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan garis panduan Halal lain seperti MS 1500: 2019 (Semakan Ketiga) dan Peraturan Berkaitan Makanan.
  2. Memastikan integriti pemprosesan Halal secara berterusan dan konsisten dipantau terhadap pematuhan Syariah (Undang-Undang Islam).
  3. Memastikan pematuhan kepada Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 Dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
  4. Memastikan semua produk yang dihasilkan di LHFC dan LHLE selamat, berkualiti tinggi dan mempunyai nilai pemakanan yang memberi manfaat kepada pengguna.
  5. Memastikan pematuhan kepada kehendak pelanggan dan antarabangsa untuk tujuan eksport.

Kunci Utama/Ciri-Ciri Utama Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban
  1. Organisasi Pengurusan Halal dari Lay Hong Berhad

    LHB telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Halal (HWC) seperti yang ditunjukkan dalam Lampiran 1 yang bertanggungjawab untuk membangun, memantau dan mengawal Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban untuk memastikan keberkesanannya. Jawatankuasa ini juga mengawasi pelaksanaan harian Polisi Halal dan Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban. Pelantikan ahli jawatankuasa adalah berdasar kepada jawatan dalam syarikat dan pengetahuan mengenai makanan halal dan terdiri dari Muslim dan bukan Muslim. Semua ahli jawatankuasa telah mengikuti latihan kompetensi yang dikendalikan oleh Penyedia Latihan Halal berdaftar yang diluluskan oleh Lembaga Profesional Halal, JAKIM.

  2. Pentadbiran Halal
    1. Perlantikan Eksekutif Halal Dan Penyelia
      LHB telah melantik Pegawai Eksekutif Halal iaitu seorang Muslim yang mempunyai kelayakan dan mahir dalam Syariah, yang disokong oleh beberapa penyelia untuk mengawasi pelaksanaan proses dan prosedur harian di peringkat loji pemprosesan. Penyembelih ayam dilantik di kalangan Muslim tempatan berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dan mempunyai kad tauliah penyembelih yang sah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri (Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS).
    2. Sumber Bahan Mentah dan Bahan Ramuan
      Ayam hidup dan telur diperoleh dari ladang-ladang milik Lay Hong Berhad atau anak syarikatnya dan kadangkala dari ladang lain yang mempunyai sijil myGAP atau Lesen Penternakan Unggas yang disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. Sebahagian besar daging ayam diperolehi dari pusat penyembelihan milik syarikat. Jika menggunakan daging ayam lain, daging ayam tersebut mestilah diperolehi dari pusat penyembelihan yang diluluskan oleh Kerajaan Malaysia. Bahan ramuan lain yang digunakan dalam pengeluaran kami diperolehi dari loji pemprosesan yang diluluskan oleh JAKIM dimana telah mendapat pengesahan dari Eksekutif Halal sebelum pembelian.
    3. Penyimpanan, Penghantaran, Pembungkusan Dan Pelabelan
      Semua bilik penyimpanan yang terdapat di loji pemprosesan dikhususkan untuk menyimpan produk Halal sahaja. Lori khas digunakan untuk menghantar produk halal. Sebelum produk dimuat ke dalam lori, lori penghantaran hendaklah diperiksa dan didapati bersih, diselenggara baik dan bebas daripada produk tidak halal. Semua bahan pembungkusan perlu mematuhi kehendak Halal dan diperbuat daripada bahan yang tidak toksik dan tidak berbahaya. Logo halal dan maklumat yang diwajibkan oleh undang-undang dipaparkan di semua pembungkusan.
    4. Sumber Penapis Air
      Bahan penapis air yang digunakan untuk pengeluaran di kilang pemprosesan mestilah bukan berasaskan haiwan. Bahan berasaskan haiwan seperti tulang atau lemak tidak dibenarkan.

  3. Program Latihan
    Latihan kesedaran Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban untuk semua kakitangan LHB dari peringkat pengurusan hingga pemprosesan dijalankan secara dalaman. Latihan Kesedaran adalah bertujuan untuk memastikan Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban diterima dan dilaksanakan dengan jayanya. Sebagai tambahan kepada latihan kesedaran, pelan latihan tahunan direka untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semua kakitangan yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran dan pemprosesan. Jawatankuasa Kerja Halal (HWC) hendaklah diberikan Latihan Kompetensi Halal sekurang-kurangnya tiga (3) tahun sekali. Latihan Kompetensi Halal hendaklah dilaksanakan oleh Penyedia Latihan Halal (PLH) yang berdaftar di bawah Halal Professional Board (HPB), JAKIM.

  4. Pengenalpastian Langkah-langkah Kawalan, Titik Kawalan Kritikal dan Titik Kawalan Utama Halal Toyyiban
    Titik Kawalan Utama (MCP) adalah lokasi atau proses dalam aliran proses di mana langkahlangkah boleh digunakan untuk membasmi kegagalan dalam mematuhi kehendak Syariah, keselamatan makanan dan kualiti produk. Titik Kritikal Halal (HCP) boleh ditakrifkan sebagai lokasi atau proses dalam aliran proses di mana langkah-langkah boleh digunakan untuk membasmi kegagalan dalam mematuhi kehendak Syariah. HCP dikenal pasti berdasarkan kehendak Syariah dan kajian validasi yang dilakukan selaras dengan Halal. Pengenalpastian MCP dan HCP adalah proses utama dalam pembangunan Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS). Langkah-langkah kawalan disediakan untuk mengurangkan kemungkinan ketidakpatuhan terhadap Keperluan Halal Toyyiban.

  5. Ringkasan Kawalan Risiko Halal
    Ringkasan Kawalan Risiko Halal adalah satu ringkasan yang dimuat dalam satu halaman di mana semua aktiviti yang perlu dilakukan dicatit untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan seperti yang ditunjukkan dalamLampiran 2. Pelan ini berfungsi sebagai rujukan cepat untuk pelaksanaan.

  6. Pengesahan Dan Validasi
    Pengesahan program dilakukan untuk menunjukkan yang semua aktiviti dalam Ringkasan Pelan Kawalan Utama Halal Toyyiban dilaksanakan secara menyeluruh dengan betul dan berkesan mengikut pematuhan kepada Keperluan Standard Halal dan Undang-Undang Syariah. Pengesahan HTAMS terbahagi kepada 2 kategori:
    1. Pengesahan terhadap Aktiviti Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS) untuk memastikan semua aktiviti dijalankan dengan betul
    2. Pengesahan terhadap Sistem Pengurusan Jaminan Halal Toyyiban (HTAMS) adalah untuk memastikan pelaksanaan sistem itu sesuai dengan Ringkasan Kawalan Risiko Halal.

    Validasi adalah satu proses untuk membangun ciri-ciri kritikal di MCP yang boleh digunakan sebagai petunjuk bahawa langkah-langkah yang diambil pada MCP berkesan untuk mengelakkan kegagalan dalam mematuhi kehendak Syariah. Proses validasi dijalankan pada semua MCP.

    Eksperimen yang dijalankan oleh syarikat adalah mengikut kaedah dan prosedur setelah berbincang dan mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kerja Halal (HWC).

    Validasi semula akan dijalankan apabila:
    • Perubahan besar berlaku yang memberikan kesan kepada sistem HTAMS atau apabila terdapat kajian baru.
    • Kaedah pelaksanaan eksperimen baru yang boleh meningkatkan proses validasi
    • Garis panduan dan Fatwa baru yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa halal Malaysia
    • Perubahan dalam aliran proses atau penghasilan produk baru

  7. Pengauditan
    1. Audit Dalaman
      Fungsi audit dalaman diwujudkan untuk memastikan semua aktiviti yang dirancang dibawah HTAMS telah dilaksanakan untuk mengelakkan ketidakpatuhan terhadap Syariah. Audit dalaman halal dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun. Juru audit dalaman dilantik dan dilatih dengan teknik mengaudit, prosedur dan sistem HTAMS. Laporan audit dalaman dibincang oleh Jawatankuasa Kerja Halal (HWC).
    2. Audit Luaran
      Kami tertakluk kepada pengawasan dan audit berkala oleh pihak berkuasa pensijilan halal Malaysia daripada JAIS, JAIJ atau JAKIM. Kekerapan audit tertakluk kepada pemantauan dan audit. Di samping itu, pelanggan utama juga akan mengaudit loji pemprosesan kami.

  8. Sistem Daya Jejak
    Satu mekanisme diwujudkan untuk mengesan produk yang tidak mematuhi standard dimana tindakan yang segera boleh diambil untuk mengenal pasti dan menarik balik semua produk yang disyaki.

  9. Manual HTAMS
    Sebuah manual dibuat dan diedarkan kepada semua bahagian yang berkaitan dan boleh bertindak sebagai garis panduan bagi pembuat dasar dan pelaksana. Manual ini adalah dokumen rasmi LHB dan semua dokumen adalah terkawal. Sebarang perubahan yang dibuat kepada manual hendaklah melalui pelbagai proses dan kelulusan akhir dibuat oleh pihak pengurusan atasan. Senarai kandungan manual dilampirkan dalam Lampiran 3.


Hubungi kami jika ada pertanyaan:

Nama: Siti Mastura binti Mohd Tahyar (Eksekutif Halal – LHFC)
Tel: 016-218 8806
Email: lhfc-qa1@layhong.com.my y

Nama: Nuraini Sofia(Eksekutif Halal - LHLE Meru)
Tel: 03-3392 3720 / 016-216 1887
Email: lhle-qa2@layhong.com.my

Nama: Nur Sabrina Binti Rosman (Eksekutif Halal - LHLE Kapar)
Tel: 03-3290 7853
Email: lhlekapar-qa@layhong.com.my y

Nama: Nurain Najihah Binti Rozani (Eksekutif Halal - LHLE Johor)
Tel: 07-2621764
Email: lhle-qa2@layhong.com.my

Nama: Dr Kasmawati binti Alias (Koordinator Halal)
Tel: 03-3343 4888 Ext 305
Email: kasma@layhong.com.my

Kemaskini pada 26-05-2023 daripada Administrator
   
 
 
   
©2020 Copyright Lay Hong Berhad (Registration No.198301011738(107129-H)). All Rights Reserved.